Ilmu Komunikasi Merupakan ilmu Pengetahuan Sosial Yang Bersifat Multi Disiplin Sehingga Mempunyai Definisi Yang Banyak Dan Pelbagai, Menurut Pandangan Dance (1970) Terdapat 15 Aspek Komunikasi Yang Berbeza. Perintah Allah SWT Yang Disebut Dalam al-Quran iaitu Allah memerintahkan kaum lelaki merendahkan pandangannya. Sebagaimana Allah telah berfirman : Katakanlah kepada laki-laki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya. (an-Nuur: 30) Sebagaimana hal ini juga diperintahkan kepada kaum wanita beriman, ALLAH berfirman; Dan katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya. (an- Nuur: 31)

Tuesday, July 23, 2019

BATAS BATAS PERGAULAN



Batas-batas Pergaulan Dalam Islam.
Faktor dan Langkah-langkah Mengatasi Masalah Pergaulan Bebas Dalam Kalangan Remaja.

Dalam era globalisasi ini sering disajikan dengan berita yang melibatkan pergaulan antara lelaki dan perempuan terlibat dengan gejala sosial yang tidak bermaruah akibat daripada pergaulan yang tidak sihat serta tidak menjaga batas – batas dalam pergaulan. Oleh itu, berkomunikasi dalam pergaulan antara berlainan jenis perlulah mempunyai batas seperti yang telah ditetapkan oleh Islam. Islam sangat menggalakkan pergaulan yang sihat dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat. Dalam Islam pergaulan yang sihat di ambil kira batas-batas mahram dan juga jenis aktiviti yang dijalankan. Islam juga mengharuskan penyertaan yang berlainan jantina atas asas menuntut ilmu pengetahuan dan melakukan aktiviti berfaedah dengan menjaga adab adab pergaulan yang tidak bertentangan dengan syariah.

Definisi 
Pergaulan  atau ikhtilat (bahasa Arab) dalam Islam membawa maksud pergaulan atau percampuran antara lelaki dan wanita ajnabi di satu tempat yakni berlaku interaksi dalam bentuk perbuatan di antara seseorang dengan lain. Iaitu ia hanya berlaku di antara tiga orang atau lebih. Ini berbeza dengan khalwat yang terdiri daripada dua orang sahaja.
Pergaulan Antara Lelaki Dan Perempuan Kerana DaruratDalam syarah Sahih Muslim, al-Imam al-Nawawi menyatakan bahawa tidak ada perbezaan hukum berkhalwat antara perempan dan lelaki ajnabi di dalam dan luar solat, kecuali dalam keadaan darurat. Sebagai contoh, situasi di mana seorang perempuan bersendirian dalam satu perjalanan yang mungkin mendedahkannya kepada bahaya. Keadaan ini membolehkan seorang lelaki ajnabi bersama dengannya sekadar untuk membantu dan melindungi daripada bahaya.
Penjelasan al-Nawawi menyakinkan bahwa pergaulan perempuan dan lelaki ajnabi dikategorikan sebagai darurat atas tujuan memberikan perlindungan dan menyelamatkan perempuan daripada bahaya adalah diharuskan dengan syarat tidak ada tujuan-tujuan lain. Hukum ini adalah satu pengecualian dari hukumnya yang asal iaitu haram.

Pergaulan Antara Lelaki Dan Perempuan Kerana hajat Pergaulan antara perempuan dan lelaki ajnabi kerana hajat Syar’ie adalah dibolehkan.

 Antara keperluan-keperluan Syar’ie ialah:
– Pergaulan antara lelaki dan perempuan ketika berjual beli.
Pergaulan antara lelaki dan perempuan untuk tujuan-tujuan seperti jual beli dan aktiviti transaksi lain dibolehkan kerana tabiat urusan jenis ini memerlukan berlaku interaksi di antara dua pihak sebelum berlaku akad. Pergaulan ini dibolehkan dengan syarat menjaga batas-batas Syarak seperti pakaian menutup aurat, menundukkan pandangan dan percakapan biasa.

– Pergaulan antara lelaki dan perempuan semasa bekerja
Semasa melaksanakan kerja, pada kebiasaannya berlaku pergaulan di antara lelaki dan perempuan. Pergaulan ini dibolehkan dengan syarat kedua-dua pihak menjaga batas-batas Syarak seperti berpakaian menutup aurat, menundukkan pandangan, percakapan biasa yang tidak mengandungi unsur-unsur fitnah dan tidak berkhalwat. Khalifah `Umar al-Khattab pernah melantik al-Syafi, seorang perempuan sebagai pegawai penguatkuasa di pasar untuk memerhati supaya tidak berlaku penyelewengan. Tabiat penguatkuasa di pasar menuntut pegawai terbabit bergaul dengan peniaga dan pembeli dipasar, lelaki dan perempuan. Perlantikan perempuan bekerja sebgai penguatkuasa menunjukkan pergaulan semasa kerja dibolehkan. Kalau pergaulan ini tidak dibolehkan pasti khalifah `Umar tidak melantik perempuan bekerja sebagai penguatkuasa kerana tabiat kerja tersebut menuntut berlakunya pergaulan.

– Pergaulan di antara lelaki dan perempuan semasa menjadi saksi
Perempuan boleh bergaul dengan lelaki semasa menjadi saksi dalam kes-kes yang ditentukan oleh Syarak bahawa perempuan dibolehkan menjadi saksi seperti perempuan harus menjadi saksi dalam kes-kes harta dan hak-haknya.

– Pergaulan di antara lelaki dan perempuan dalam kenderaan awam
Pergaulan di antara dalam kenderaan dibolehkan atas alasan ianya adalah keperluan yang mendesak. Namun demikian, keharusan ini tertakluk kepada Syarak bahawa perempuan keluar rumah bukan untuk tujuan yang tidak Syar’ie seperti berfoya-foya. Ia mestilah bertujuan Syar’ie seperti bekerja untuk menyara diri atau keluarga, menziarahi keluarga, pesakit dan sebagainya.
Di samping syarat-syarat di atas, batas-batas Syarak dalam pergaulan lelaki dan perempuan perlulah dijaga. Pakaian mestilah menutup aurat, pandangan ditundukkan dan percakapan berlaku secara biasa dan normal.

3. Pergaulan Mengikut Kebiasaan Adat Dalam Majlis-majlis
Pergaulan di antara lelaki dan perempuan dalam majlis seperti kenduri-kendara kerana sempena sesuatu dibolehkan dengan syarat menjaga batas-batas Syarak seperti pakaian menutup aurat, tidak tabarruj, menundukkan pandangan, bercakap dengan suara biasa dan normal. Sekiranya batas-batas Syarak tersebut tidak dipatuhi pergaulan di antara lelaki dan perempuan, maka ia tidak dibolehkan. Walaubagaimanapun, pengasingan tempat antara lelaki dan perempuan semasa makan dan lainnya dalam majlis-majlis ini adalah lebih baik. Ini didasarkan kepada kaedah “Sadd al-Zari’ah” (menutup pintu-pintu fitnah).

ADAB-ADAB PERGAULAN DALAM ISLAM

Islam sangat menekankan supaya dalam pergaulan hendaklah mengikut adab adab yang ditetapkan oleh garis panduan agama berdasarkan dalil al-Quran dan Hadis.

1.Menundukkan pandangan
Allah memerintahkan kaum lelaki merendahkan pandangannya. Sebagaimana Allah telah berfirman :
Katakanlah kepada laki-laki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya. (an-Nuur: 30)
Sebagaimana hal ini juga diperintahkan kepada kaum wanita beriman, ALLAH berfirman; Dan katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya. (an- Nuur: 31)

2. Menutup Aurat
Sebagaimana Allah telah berfirman dan jangan lah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka melabuhkan kain tudung ke dadanya. (an-Nuur: 31)

Perintah menutup aurat juga berlaku bagi semua jenis
Dari Abu Daud Said al-Khudri .a. berkata: Rasulullah SAW bersabda:
Janganlah seseorang lelaki memandang aurat lelaki, begitu juga dengan wanita jangan melihat aurat wanita.

3.Tidak berdua-duaan di antara Lelaki dan Perempuan
Dari Ibnu Abbas .a. berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Janganlah seorang lelaki berdua-duaan (khalwat) dengan wanita kecuali bersama mahramnya. (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)
Dari Jabir bin Samurah berkata; Rasulullah SAW bersabda:
Janganlah salah seorang dari kalian berdua-duan dengan seorang wanita, kerana syaitan akan menjadi ketiganya. (Hadis Riwayat Ahmad & Tirmidzi)

4.Tidak melunakkan percakapan
Seorang wanita dilarang melunakkan percakapannya ketika bercakap selain daripada suami. Allah SWT telah berfirman;
Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara (berkata-kata yang menggoda) sehingga berkeinginan orang yang ada penyakit di dalam hatinya tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik. (al-Ahzaab: 32) 
Imam Ibnu Kathir juga berkata;
Ini adalah beberapa etika yang diperintahkan oleh ALLAH kepada para isteri Rasulullah SAW serta kepada para wanita mukminah lainnya, iaitu hendaklah dia kalau berbicara dengan orang lain tanpa suara merdu, dalam pengertian janganlah seorang wanita berbicara dengan orang lain sebagaimana dia berbicara dengan suaminya. (Tafsir Ibnu Kathir 3/350)

5.Tidak bersentuhan dengan kaum berlawanan jenis
Dari Maqil bin Yasar .a. berkata;
Seandainya kepala seseorang ditusuk dengan jarum besi itu masih lebih baik daripada menyentuh kaum wanita yang tidak halal baginnya. (Hadis Hasan Riwayat Thabrani dalam Mujam Kabir)

Isu Akibat Tidak Menjaga Batas Pergaulan


Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan jika tidak dikawal akan mengundang pelbagai masalah sosial terutamanya dalam kalangan remaja masa kini yang banyak terdedah dengan media sosial massa yang semakin hari semakin berkembang seperti kembangan bunga yang mekar tetapi semekar – mekar bunga yang berkembang itu pasti ada cacat celanya dari sudut berbeza. Jadi, isu pergaulan bebas antara remaja ini sering kali menjadi bualan media massa kerana pergaulan bebas akan mengakibat wujudnya kes-kes seperti lahir anak luar nikah, sex bebas, percampuran lelaki dan perempuan di kelab malam dan lain lain.




Artikel Akhbar ini menyatakan kes bayi dibuang. Kes ini sering kali kita lihat terpapar di dalam akhbar pelbagai bentuk bayi yang dibuang seperti janin, bayi cacat dan lain lain.
Kes buangan bayi ini terjadi apabila remaja melakukan hubungan sek secara bebas sehingga mengakibat si perempuan mengandung anak luar nikah dan tidak mahu bertanggungjawab terhadap anak yang dikandungnya itu. Perkara sebegini terjadi apabila kurangnya didikan agama serta individu tersebut telah melanggar batas batas pergaulan antara lelaki dan perempuan. Lalai dalam menitikberatkan soal agama dalam kehidupan harian maka timbulah kes-kes seperti buangan bayi ini.

Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Masalah Pergaulan Bebas Di Kalangan Remaja

Indivuidual

Peringkat remaja, manusia mengalami perkembangan fizikal dan emosi yang sangat ketara berbanding di peringkat kanak-kanak. Waktu remaja merupakan titik permulaan kepada kemahuan untuk merasai kebebasan. Kebebasan yang dimaksudkan adalah dari aspek fizikal dan emosi, yang mana remaja tidak mahu dikongkong pergerakannya serta pemikirannya. Kemahuan sedemikian seringkali menjadi punca remaja mudah terpengaruh dengan pergaulan bebas yang akhirnya mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri.
Pada usia remaja juga kita akan mengalami perasaan ingin tahu serta kehendak mencuba perkara-perkara baru dalam hidup. Dorongan perasaan ini jika tidak dibimbing dengan pemikiran yang waras akan menyebabkan remaja mencuba perkara-perkara negatif walaupun telah mengetahui kesan buruknya sejak awal lagi.
Pegangan agama dan amalan kerohanian yang lemah juga adalah faktor penting yang mendorong remaja untuk terlibat dalam pergaulan bebas. Kecenderungan untuk bergaul dengan rakan-rakan tanpa sempadan jantina dan usia akan menyebabkan remaja terus hanyut dengan cara hidup yang terbuka dan enggan menerima agama sebagai panduan hidup.

Keluarga

Keluarga mempunyai peranan yang sangat besar terhadap perkembangan anak remaja. Remaja yang sering menerima tekanan dan tidak mendapat kepercayaan daripada ahli keluarga sering memilih untuk keluar dari rumah bagi mengelakkan masalah. Sebaliknya, keluarga yang mampu memberikan kasih sayang yang mencukupi akan menyebabkan remaja merasai dirinya lengkap bersama-sama dengan keluarga.
Kekurangan masa yang diperuntukkan oleh ibubapa terhadap anak-anak remaja juga menyebabkan mereka memilih untuk menjalinkan hubungan dengan pasangan. Senario pada era ini kita melihat ibu bapa banuak menghabiskan masa dengan bekerja sehingga mengabaikan masa yang perlu diluangkan bersama keluarga dan anak- anak supaya mereka tidak merasa tersisish. Justeru itu, anak remaja mudah bergaul dengan bebas kerana tidak dipantau oleh ibu bapa mereka.

Rakan Sebaya

Rakan sebaya yang baik akan mengajak serta mempengaruhi remaja ke arah perkara-perkara yang berfaedah. Namun begitu, rakan sebaya yang juga terlibat dalam masalah sosial sering berjaya mempengaruhi rakan yang lain kerana usia yang hampir sama membolehkan kepercayaan diperolehi dengan mudah. Rakan sebaya yang berkongsi masalah yang sama menyebabkan remaja merasakan rakan adalah orang yang paling memahami dirinya dan mengetahui jalan penyelesaian terbaik, sedangkan tidak semuanya berkeadaan begitu.
Sebagai anak remaja yang kebanyakannya gemar berkawan secara berkumpulan, remaja juga didapati mudah mengikut ajakan rakan sebaya agar mereka mudah diterima dalam kumpulan. Remaja mahu dikatakan mudah mengikut arus perubahan yang ditunjukkan oleh rakan-rakan. Oleh yang demikian walaupun adakalanya mereka telah mengetahui keburukan perlakuan tersebut namun remaja masih melakukannya kerana ingin mendapatkan kepercayaan daripada rakan-rakan.

Pengaruh Media Sosial

Penggunaan media sosial yang terlalu meluas menyebabkan remaja amat mudah terdedah kepada pelbagai maklumat sama ada baik atau buruk. Walaupun pengetahuan kini berada di hujung jari sahaja, namun tidak semuanya sesuai untuk diketahui oleh remaja. Masalah keruntuhan akhlak termasuklah pergaulan bebas adalah berpunca daripada maklumat-maklumat tanpa sempadan yang diperolehi oleh remaja. Sebagai golongan yang masih belum mampu untuk menapis maklumat dengan rasional, remaja akan terpengaruh dengan keseronokan yang dipamerkan serta mengambil keputusan untuk berpasangan serta terlibat dalam pergaulan bebas.

Langkah-Langkah Yang Boleh Diambil Bagi Mengatasi Masalah Pergaulan Bebas Di Kalangan Remaja

Hubungan Berkualiti Di Antara Remaja dan Keluarga

Remaja perlu mengimbangkan keperluan emosi diri seperti perasaan ingin tahu dan kehendak untuk berpasangan dengan matlamat hidup iaitu untuk berjaya dalam pelajaran dan mencapai cita-cita yang disemat sejak kecil lagi. Oleh yang demikian, remaja amat memerlukan hubungan yang berkualiti dan dipercayai dengan ahli keluarga dan guru-guru. Apabila hubungan tersebut dapat disemai maka remaja akan memilih untuk berkongsi setiap suka dan dukanya serta tidak memerlukan individu lain bagi mengisi kekosongan emosinya.

Memilih Rakan

Remaja haruslah bijak dalam memilih rakan yang boleh mengajak ke arah kebaikkan bukan kepada kejahatan. Sifat remaja ingin tahu yang tinggi serta gemar untuk berkawan, sudah tentulah remaja akan mudah didampingi oleh ramai rakan-rakan tanpa mengira peringkat usia. Adalah penting bagi seorang remaja untuk mendampingi rakan-rakan yang baik untuk menjadikan diri sendiri menjadi lebih baik. Rakan yang baik akan mengajak remaja untuk belajar bersungguh-sungguh supaya berjaya dalam pelajaran, mendengar nasihat ibubapa untuk maju dalam kehidupan.
Rakan yang tidak baik pula mendorong remaja untuk mencuba perkara-perkara yang negatif serta tidak mengendahkan nasihat ibubapa dan guru-guru. Rakan yang tidak baik juga akan memperkenalkan remaja dengan orang lain tanpa arah tujuan yang khusus serta sering mengajak melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Elakkan Berpasangan

Pada peringkat remaja, perkembangan fisiologi, emosi dan seksual adalah seiring dan secara tidak langsung menyebabkan wujud perasaan ingin berpasangan. Namun begitu, perlu difahami oleh remaja bahawa pada usia ini tumpuan diperlukan untuk pelajaran bagi memastikan peluang yang lebih baik di masa hadapan.
Sebagai individu yang masih muda, remaja tidak mampu untuk melakukan pelbagai perkara besar dalam satu-satu masa. Sebagai contoh, mempunyai teman wanita atau teman lelaki akan menyebabkan pemikiran remaja banyak tertumpu kepada hubungan tersebut, sekaligus mengurangkan tumpuan kepada pelajaran. Selain itu, dibimbangi juga hubungan tersebut sampai ke peringkat yang melampaui batas pergaulan seperti hubungan seks luar nikah serta mengandung. 

Kawalan Terhadap Media Sosial

Aspek ini memerlukan kerjasama yang padu di antara remaja sendiri, keluarga dan masyarakat . Seperti yang diketahui, dunia tanpa sempadan pada hari ini menyebabkan semua maklumat yang tidak ditapis mampu sampai kepada pengetahuan remaja. Nilai etika, moral, budaya serta ideologi perlu ditapis sendiri oleh remaja sedangkan pengetahuan mereka adalah terbatas dan kemahuan untuk meneroka perkara-perkara baru adalah sangat tinggi. Oleh yang demikian, kawalan terhadap maklumat yang boleh diakses oleh remaja amat perlu. Sebagai ibubapa, peranan sebagai individu yang terdekat dengan remaja perlu digunakan sebaik mungkin untuk menerapkan kesedaran kepada remaja untuk menjauhi portal-portal media yang memberi pengaruh negatif kepada fikiran dan emosi.

Kesimpulan


Seperti yang kita sedia maklum, pergaulan bebas ini memberi impak negatif daripada positif. Melalui pergaulan bebas ini akan menyebabkan individu terjerumus kepada penzinaan.Pergaulan bebas ini tidak akan terjadi jikalau semua pihak tidak mengambil berat daripada aktiviti ini berleluasa. Kita seharusnya mencegah aktiviti ini daripada ia terus merosakkan akhlak remaja.  Ibu bapa juga haruslah memainkan peranan penting dengan menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada anak mereka, memberi didikan agama yang sempurna sejak mereka kecil lagi. Bak kata pepatah melayu “mencegah itu lebih baik daripada merawat” perempuan ibarat permata yang berharga. Maruah dirinya tidak boleh dijual beli. Janganlah disebabkan terpengaruh dengan budaya barat kita wanita Islam sanggup menggadaikan maruah diri. Tegakkanlah Islam dalam dirimu nescaya akan tertegak Islam disekelilingmu.

No comments:

Post a Comment